Sebuah Lafaz Doa untuk Ibu
Ya Allah ya Rabb ku,dengan kudratMu
aku sekeluarga di pagi hari raya haji ini,
Selepas menunaikan sembahyang raya haji, ku jejakkan kaki
berdiri disebelah makam ibu tersayang
Dikala waktu disisi makam ibu yg tercinta, ku teringat satu lafaz hadis,
betapa rasulullah ketika menziarahi makam ibunya tercinta,
baginda menangis beserta para sahabatnya
bersama-sama kesedihan disekeliling beliau, lalu baginda bersabda:
“aku meminta izin kepada Rabbku untuk memohon keampunan buat ibuku, namun Allah tidak mengizinkan. Lalu aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, Allah pun mengizinkannya. Oleh sebab itu, ziarahilah kubur, kerana demikian akan mengingatkan akan kematian”. ** (riwayat Ahmad)
Sesungguhnya, mata boleh sahaja melinangkan air mata,
Hati mungkin sahaja berduka-lara,
Namun kita hanya mengatakan yang diredhai oleh Rabb kita.
Dengan harapan keberkatan di hari raya aidiladha ini
ku sekeluarga menghulurkan kedua tangan-tangan kami yang hina ini,
memohon harapan Engkau limpahkan rahmat dan hidayahMu.
Terasa maha lemah diri ini tanpa pertolonganMu ya Allah.
Kudrat yang Maha kaya lagi Maha Agung dengan segala Kemuliaan
Yang memenuhi segala 7 petala langit dan bumi
Dengan namaMu ya Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Segala pujian bagiMu Tuhan Sekelian Alam.
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Tuhan Pemerintah hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan kepadaMu kami memohon pertolongan
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus
Jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat keatas mereka
Bukannya jalan orang yang Engkau murkai
dan bukan pula orang-orang yang sesat.
Ya Rabbi ya Allah Ya Zaljalaaliwalikrom
Ampunilah dosa-dosa ku kepada Mu ya Allah.
Aku terlalu lemah dengan godaan syaitan,
aku sering melakukan maksiat biarpun ku tahu Engkau murkai,
aku memandang ringan dan lalai dalam solat walaupun ku tahu ianya Engkau tuntuti.
Tuntutan yang pertama sekali akan dipersoalkan di hari pembalasan
Ya Allah, kukuhkanlah kami dengan agama Muhammad Rasulullah,
Dengan Islam kami keIslaman muslimin,
teguhkanlah iman kami, dengan keimanan seorang mukminin,
kurniakan solat kami solat yang kusyuk, amal kami amal yang soleh.
kuatkanlah hati kami dengan mengharap hidayah, taufiq dan lindunganMu
Jauhilah kami dari segala laranganMu,
Dekatkanlah kami dengan segala suruhanMu,
Tanamlah rasa benci dihati kami kepada maksiat kufur dan ingkar
Tanamlah rasa cinta dihati kami ketaatan kepadaMu .
jauhilah kami dari orang-orang lalai dan munafik
Ya Allah, Ar Rahman, Ar Rahim, Ya Karim
Jadikanlah aku hambaMu dan umat Muhammad SAW yang beriman
kepadaMu dan berbakti kepada kedua ibubapaku.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibubapaku
kasihilah mereka sebagaimana mereka mendidik dan mengasihiku ketika aku kecil
bukakanlah pintu hati mereka untuk beriman kepadaMu
cucuri kerahmatan, keberkataan kesejahteraan keatas mereka,
ku tanggung maha banyak hutang budi kepada mereka ya Allah
budi tak terkira mereka yang ku balas dengan menyakiti hati mereka
kasih sayang mereka kubalas dengan kata-kata derhaka
sedangkan ku tahu dan juga lupa daratan,
berkat usaha, didikan dan asuhan mereka,
Punca aku berjaya kini
9 bulan keselesaan sanggup digadaikan ketika mengandungkan aku
Kesakitan yang amat sangat dilupai ketika melahirkan aku
Lauk pauk di mulut mereka diluah keluar untuk disuapkan kepadaku
Titik peluh mereka yang halal dikumpulkan kering demi kebaikan aku
Tidur malam mereka aku ganggu demi membesarkan aku
Jagaan dan harta sanggup dilepaskan untuk pendidikan aku
tidak pernah mereka mengadu letih,
tidak pernah mereka mengadu sakit,
namun ya Allah ku lupa semua itu!
Kerana mereka tidak pernah merungut kepadaku ya Allah!
Kerana mereka tidak pernah mengadu kepadaku ya Allah!
Di pagi hari ini
Di sisi makam ibu dicintai
Semua itu
Ku terkenang
Ku mengadu
Ku memohon
Ku merayu
kepadaMu ya Allah
Tuhan yang Maha Pemberi balasan…
Demi sepenuh jiwa ku di tanganMu ya Allah
Rahmatilah ibuku, ampunilah dosa-dosa ibuku,
Perluaskanlah kubur ibuku, jadikanlah semadian ibuku
taman2 syurga untuknya sementara.
Jadikanlah ibuku ahli syurga,
Jadikanlah juga seperti mana di dunia,
ibuku sebagai ibu ku di syurga
Sekiranya…
Ibuku Engkau siksakan didalam kubur,
Ya Allah!
Demi jiwaku ditanganMu!
ku sujud kepadaMu!
Mohon Hentikanlah ya Allah!
Jangan seksa ibu ku ya Allah!
Ibuku terlalu lemah tidak mungkin dapat menahan…
Bisa, azab dan siksaanMu,
Yang maha pedih itu ya Allah!
Perkenankanlah doaku ini dan jadikanlah ini doa anak yang soleh
Yang engkau janjikan akan Engkau kabulkan ya Allah
Maha suci, Segala Puji bagi Allah, yang Maha Besar
Ku mohon agar suatu hari kelak, pabila giliranku nanti
Dengan KudratMu maka jadikanlah zuriat ku, anak-anak ku
Antara golongan orang yang soleh,
Orang orang syuhada,
Yang mendoakan keampunanku daripadaMu
Jadikanlah mereka sebagai syafaat, anak kunci pintu syurgaku ya Allah
Ku mohon dan rayu, jangan jadikan mereka
Sebagai golongan orang ingkar dan kufur!
Jangan jadikan mereka sebagai anak kunci pintuku ke nerakaMu!
ku pasrah agar menjadi orang yang menyerahkan urusannya
ketika senang atau musibah
hanya kepadaMu,
maka perteguhkanlah imanku dan keluargaku serta iman zuriatku ya Allah
Jauhilah kami dari siksaMu ya Allah
Segala puji hanya bagi Mu ya Allah,
Tuhan semesta alam.